Taman Rekreasi Paya Bakau ini terletak di Kampung Sijangkang, Kuala Langat, Selangor. Tidak jauh dari jalan utama. Lebih kurang 15 minit perjalanan ke kawasan pedalaman kampung. Boleh dikatakan perlu memandu sehingga hujung jalan atau klik lokasi ini.
Tujuan Fiqqq pergi ke sini saja mencari lokasi untuk buat video suka-suka bersama keluarga bersempena hari raya. Memandangkan lokasi ini tidak jauh dari rumah. Maka langkah panjang untuk sampai ke sini. Oleh kerana masa sampai agak awal, maka kelihatan sedikit sunyi. Namun, ada beberapa pengunjung yang lebih awal.
Bayaran masuk
Bayaran dikenakan sebanyak RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Kira kita bayar bagi kos penyelenggaraan, mereka yang menjaga tempat tersebut dan lain-lain. Bukan mahal pun kan? Hahaha
Laluan di Taman Rekreasi
Bagi Fiqqq tidak menjadi masalah sekiranya berjalan jauh walaupun berbaju melayu penuh. Ini kerana laluan redup dan penuh dengan tumbuhan hijau. Agak dingin di awal pagi. Cuma kurang berangin kerana pokok tebal. Jadi, adalah lebih baik bawa kipas elektronik kecil jika kuat berpeluh.
Jika tidak silap, perjalanan untuk ke penghujung laluan paya bakau ini sepanjang 700 meter sahaja. Di hujung laluan ini, kita boleh nikmati pemandangan sungai. Dikhabarkan bahawa sebelum ini ada khidmat boat yang boleh bawa kita pergi bersiar di tepi sungai. Namun, buat masa sekarang khidmat tersebut diberhentikan buat sementara waktu.
Terfikir alangkah baiknya sekiranya bawa Drone bersama untuk ambil video mahupun gambar dari atas. Namun, agak bahaya kerana banyak helang yang berada di kawasan situ. Silap terbang takut disambar. Menangis tidak berlagu. Apa pun alhamdulillah kerana sempat bergambar untuk buat video raya kali ini.
Cuma ada beberapa kawasan yang agak banyak nyamuk. Sekiranya ada alat untuk elakkan gigitan nyamuk, sila bawa siap-siap. Fiqqq pergi tanpa sebarang persiapan main terjah, maka bertepuk-tepuk juga nyamuk yang hinggap di badan. Kalau boleh, bawa minuman dalam botol. Khuatir dahaga selepas jauh berjalan. Diingatkan bahawa tolong bawa pulang semula sebarang bekas minuman dan sebagainya. Jangan suka-suka buang di sungai atau kawasan paya bakau.
Walaupun ada orang yang menjaga kawasan tersebut, tolong jaga kebersihan. Balik nanti teringin pula makan Marrybrown. Penat berjalan dan bergambar semua. Masa untuk isi perut pula.
Leave a Reply