Bercuti di Taman Negara Pulau Pinang antara lokasi yang mungkin tidak terlintas dalam fikiran Fiqqq untuk pergi. Selalu menjadi halwa telinga adalah lokasi-lokasi lain sebagai contoh Georgetown , Penang Hill dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Fiqqq rasa beruntung kerana berpeluang menyertai Balik Pulau Nature Exploration bersama pihak Tourism Malaysia Wilayah Utara. Tidak lupa juga dengan geng daripada KBBA9.
Perjalanan Fiqqq ambil masa dalam dua hari satu malam sahaja. Fokus utama adalah melihat keindahan alam semula jadi. Bermula dari pemandangan laut sehingga dalam hutan yang menampakkan bukit bukau dan gunung ganang.
23 Oktober 2019 (Hari Pertama)

Bermula dengan sesi pendaftaran di Taman Negara Pulau Pinang. Sedikit kelewatan semasa mendaftar kerana liat sungguh Fiqqq ingin bangun pagi kerana malam tersebut hujan dan sejuk di waktu pagi. Makin dipaksa diri untuk bangun, makin seronok duduk dalam selimut.
Fiqqq diberi taklimat oleh bahagian Tourism Malaysia dan juga Taman Negara berkenaan spesis haiwan yang ada di sini dan juga beberapa tempat menarik yang ingin mereka fokuskan. Dalam banyak-banyak yang mereka beritahu, Fiqqq sangat tertarik apabila mereka menyebut Bukit Batu Hitam. Lokasi untuk mereka yang gemar hiking. Walaupun penat Fiqqq menaiki Gunung Yong Yap pada hujung minggu yang lepas, rasa rugi sekiranya tidak pergi. Memandangkan masa tidak mengizinkan. Hanya fokus pada lokasi lain. Sedihnya!
Cemacs @ USM

Banyak Fiqqq belajar mengenai hidupan laut di sini. Memandangkan mereka mengkaji hidupan laut maka pelbagai informasi yang boleh Fiqqq peroleh. Berkenaan spesis ikan lumba-lumba yang ada, jenis-jenis ikan yang ada di sekitar pulau, kedudukan mereka, terumbu karang, obor-obor dan bermacam-macam lagi.






Paling menyedihkan apabila dimaklumkan bahawa hidupan laut ini banyaknya makan sisa-sisa buangan daripada manusia seperti plastik dan sebagainya. Perlu ingat ya! Ikan termakan plastik yang manusia buang. Manusia ke laut untuk menangkap ikan. Hasil tangkapan tersebut manusia beli dan manusia makan pula. Jangan salahkan ikan hari ini tidak sihat kerana hari semalam manusia yang alpa suka buat pencemaran. Huh!
Teluk Kampi Trail

Bagi mereka yang gemar untuk bermalam dalam hutan, di sini terdapat lokasi yang sudah mereka sediakan untuk berkhemah. Dimaklumkan bahawa kasawan ini insyAllah selamat daripada binatang buas. Sekiranya ingin bermalam, perlu ada Nature Guide yang akan bersama sepanjang aktiviti untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.



Paling seronok ialah pemandangan di tepi pantai sambil baring di atas batang pokok kelapa. Cuaca cantik boleh lah. Kalau cuaca panas bersiap sedia untuk mengalami fasa kulit menggelupas. Boleh tahan juga panas sini.
Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kerachut

Di sini Fiqqq didedahkan cara penyu bertelur dan beberapa kriteria yang baharu tahu. Sebagai contoh, sekiranya penyu bertelur di kawasan yang panas, maka telur-telur itu akan berjantina betina. Sekiranya penyu tersebut bertelur di bawah pokok-pokok tertentu atau kawasan redup bermakna telur-telur tersebut akan berjantina jantan. Andai kata populasi spesis jantan pupus, maka ranger akan alihkan telur-telur yang baharu sahaja ditanam oleh penyu ke bahagian redup.

Penyu ini pula mempunyai memori seperti GPS. Selepas mereka yang kecil-kecil itu dilepaskan ke laut, mereka akan mengalami fasa lost. Maksudnya mereka akan hilang atau merantau ke mana-mana. Yang menarik, selepas beberapa tahun, mereka akan datang semula ke pantai di mana mereka menetas. Dalam nisbah 1000, mungkin 3-5 ekor sahaja yang selamat.

Tasik Meromiktik

Kelebihan dan keunikan tasik ini ialah akan ada satu masa tasik ini mengandungi dua lapisan air iaitu air laut dan air sungai. Hal ini kerana limpahan air laut yang masuk ke kawasan sungai dan menjadi tasik yang dipanggil Tasik Meromiktik. Tanah lumpur yang ada pula baik untuk kulit. Cuma Fiqqq tidaklah berkubang dalam lumpur tersebut. Malas cuci dan memandangkan cuaca hujan. Hahaha.
Selepas lokasi terakhir untuk sesi Bercuti di Taman Negara Pulau Pinang, Fiqqq dan geng balik ke tempat penginapan untuk membersihkan badan yang agak belengas dengan peluh dan campur bau laut dan semua lah. Hahaha. Nanti sambung percutian untuk hari ke dua Bercuti di Balik Pulau.
halahh halahhh rindu pulakkk dengan Balik Pulau…..
Jom gi lagi . Kita discover tempat lain