Tempat menarik di Pahang sekitar Bentong, Raub dan juga Lipis banyak lagi yang belum Fiqqq teroka. Kali ini dapat pergi ke beberapa lokasi yang mungkin ramai tidak tahu dan tidak pernah singgah. Alhamdulillah berkesempatan untuk pergi dan merasai sendiri bercuti dan melakukan pelbagai aktiviti menarik yang ada di Pahang.
Tempat Penginapan
Mama Papa Chalet, Bentong
Apabila sampai di sini dan Fiqqq kongsikan beberapa keping gambar di Facebook mendapat maklumbalas daripada beberapa rakan yang pernah ke sini. Rata-rata daripada mereka suka menginap di sini kerana dekat dengan sungai dan suasana yang mendamaikan. Mana tidaknya, keliling pokok-pokok hijau, pemandangan gunung-ganang dan di bahagian belakang bilik adalah sungai. Kalau tidur sambil mendengar bunyi desir air sungai itu sangat menenangkan. Betul tak ?
Lokasi tempat ini boleh Waze sahaja nama Chalet Mamapapa. Bukan sekadar mandi sungai sahaja, mereka juga ada menyediakan aktiviti mendaki ke Air Terjun Tampik. Sebarang urusan permohonan permit dan sebagainya diuruskan oleh pihak chalet. Kita cuma bawa kelengkapan atau bekalan serta memakai pakaian yang sesuai untuk mendaki.
Radiant Retreat
Tempat ini lebih kepada mereka yang ingin melakukan aktiviti berkumpulan bersama sambil bercuti. Sebagai contoh team building, berkhemah dan sebagainya. Mana-mana organisasi mahupun sekolah banyak yang pernah ke sini kerana mereka menyediakan aktviti yang sangat menarik di sekitar Janda Baik. Kita datang bawa hajat untuk sekian-sekian aktiviti dan mereka akan uruskan. Apabila sampai di sini, Fiqqq nampak banyak rupanya tempat-tempat menarik di Janda Baik.
The Land, Bentong
Sekiranya inginkan percutian yang berkonsepkan tinggal di ladang atau Farm Stay boleh singgah di sini. Dalam satu kawasan menginap ada kandang kambing, arnab, ayam, angsa, itik dan lain-lain. Sepanjang Fiqqq berada di sana, hanya kelihatan haiwan yang halal sahaja. Jadi, jangan risau. Hahaha. Harap mereka tidak tambah haiwan yang pelik-pelik.
Konsep ini lebih kepada pendedahan kepada kanak-kanak yang mungkin tidak pernah lihat sendiri kambing, ayam atau sebagainya secara langsung. Jangan rasa pelik ya. Ada sahaja budak-budak sekarang yang tidak dapat beza kambing, lembu dan sebagainya. Bukan itu sahaja, banyak aktiviti yang mereka sediakan di sini seperti bermain layang-layang, sepak takraw, gasing dan sebagainya.
Tanah Aina Fahad
Ini merupakan lokasi yang sering menjadi bualan ramai dek kerana cara penginapan mereka yang menggabungkan Glamour dan Camping maka jadi Glamping. Bukan itu sahaja, lokasi yang sangat strategik iaitu berdekatan dengan sungai, suasana ibarat tinggal dalam hutan dan rasa mewah menjadikan sesuai untuk menginap bersama keluarga.
Aktiviti yang menarik di sini ialah mandi sungai, jungle trekking, dan sebagainya. Bukan itu sahaja, kita juga boleh bermain ping pong, dam ular gergasi dan catur gergasi. Boleh bayangkan ibarat dalam cerita Harry Potter and the sorcerer’s Stone tapi tidaklah sebesar itu. Hahaha.
Cuma ingin diingatkan bahawa tempat mandi adalah asing. Kalau dapat khemah yang jauh maka perlu berjalan sedikit untuk ke sana.
Star-Well Hotel
Walaupun boleh dikatakan bandar di Lipis, Pahang agak kecil namun hotel yang ada boleh diibarat selesa seperti di bandar-bandar besar di negeri lain. Lokasi ini merupakan penginapan terakhir trip Fiqqq di Pahang. Tempat ini bukan sahaja untuk menginap semata, mereka juga menyediakan ruang untuk majlis dan sebagainya. Ruang yang ada tidak lah besar mana. Tapi boleh memuatkan dalam 100 orang mungkin.
Cukup dengan kelengkapan seperti PA dan Sound system, projector, dan sebagainya. Maka, video highlight yang Fiqqq buat ditayangkan pada majlis makan malam tersebut. Segan rasa. Hahahaha. Kalau sekadar pamer dalam Instagram atau Facebook masih boleh diterima. Kalau orang lihat pun kita tidak tahu. Hahaha.
Aktiviti menarik di Pahang
Taman Eko Rimba Kenong
Aktiviti yang paling ditunggu-tunggu untuk berjalan dalam hutan dan eksplor tempat menarik di kawasan yang Fiqqq lawati. Untuk ke sini, Fiqqq menaiki lori JPAM untuk ke jeti dan bot untuk ke taman tersebut. Menarik kerana kita akan melalui kawasan kampung untuk ke jeti. Menerusi laluan sungai untuk ke lokasi jungle trekking.
Kalau diikutkan seperti yang dimaklumkan, Fiqqq akan melalui laluan sungai yang bergua. Maksudnya merentasi gua untuk lokasi seterusnya. Memandangkan air agak tinggi kerana hujan pada malam tersebut. Jadi, terpaksa turun di lokasi lain dan jarak untuk jungle trekking lebih panjang.
Fiqqq pergi ke Gua Batu Tangga, Gua Batu Tangkup dan Gua Kelawar. Ketiga-tiga gua ini akan melalui satu jalan yang sama. Perjalanan ambil masa dalam 45 minit bermula di jeti Taman Eko Rimba Kenong. Kalau jalan laju, mungkin boleh sampai lebih awal. Dek kerana Fiqqq jalan santai sambil menikmati suasana hutan jadi lewat sedikit sampainya. Walau bagaimanapun, Fiqqq teringin untuk eksplor lokasi hiking seperti Bukit Batu Chondong yang Fiqqq mendaki sebelum ini.
Pekan Lipis Pahang
Kalau dalam geografi punya pengiraan mesti ada titik sifar ‘0’ kan ? Jangan tanya Fiqqq Geografi dapat berapa sebab fail dulu. Hahahaha. Okey, jadi ini merupakan lokasinya di Pekan Lipis. Bersebelahan dengan Pejabat Pos.
Sambil berjalan-jalan melihat keunikan bangunan lama, Fiqqq singgah sebentar di Medan Tangga. Medan selera yang bertangga. Cuma singgah untuk lihat sahaja.
Ini adalah Masjid Negeri (Madrasatul Firdaus) yang dibina pada tahun 1888. Antara masjid tertua di sini. Difahamkan masjid ini tidak ditenggelami air semasa banjir suatu ketika dahulu. Oleh kerana singgah sebentar jadi tidak banyak yang Fiqqq boleh peroleh. Selalunya, singgah lah sekejap amik berkat solat sunat dua rakaat. InsyaAllah ada rezeki, Fiqqq sampai lagi.
Lokasi seterusnya ialah Bangunan Residensi. Antara bangunan lama yang masih digunakan.
Ini adalah Bangunan Pentadbiran. Kuala Lipis ini pernah menjadi ibu negeri Pahang. Bangunan ini dibina untuk melancarkan segala gerak kerja pentadbiran negeri. Kiranya semua barisan pentadbir berada di sini.
Apabila berada di pekan pasti akan ada muzium yang kita boleh lihat dan ambil tahu berkenaan sejarah atau salah silah sesuatu lokasi tersebut. Banyak yang boleh Fiqqq peroleh di sini lebih-lebih lagi berkenaan orang tempatan, pembesar dan juga tokoh-tokoh yang lahirnya di negeri Pahang.
Kalau diikutkan banyak lagi Tempat menarik di Pahang yang Fiqqq perlu pergi. Paling Fiqqq nantikan ialah lokasi untuk mendaki gunung atau tempat-tempat melakukan aktiviti hutan.
Leave a Reply