Tempat makan menarik di Selangor dan dijamin 100% halal merupakan perkara utama yang Fiqqq ingin kongsikan dalam penulisan kali ini. Bersyukur diberi kesempatan untuk menyertai program Fam Trip Halal Selangor anjuran Gaya Travel Magazine dengan kerjasama daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan PMNS.
Bukan sekadar berjalan bersuka ria namun dalam usaha untuk berkongsi cerita berkenaan halal. Halal ini bukan untuk orang Islam semata malah untuk semua. InsyaAllah tidak perlu was-was jika makan di lokasi yang Fiqqq kongsikan kerana sijil halal premis mereka telah mendapat pengiktirafan daripada JAKIM.
1. Saudagar Nanas
Segala makanan yang dihidangkan di sini berasaskan nanas. Nanas goreng, karipap nanas, dan yang paling sedap layan adalah jus nanas sejuk ketika waktu panas. Semua nanas hasil dari ladang tersebut. Boleh dikatakan nanas yang disediakan adalah segar. Fresh from the farm.
Kafe yang terletak di puncak bukit dalam ladang tersebut menjadikan pemandangan sangat cantik untuk kita nikmati semasa makan. Selepas makan, jangan lupa untuk dapatkan nanas segar yang dijual murah berbanding harga di pasaran. Tidak lupa juga terdapat produk lain yang berasaskan nanas seperti sos cili nanas dan sebagainya.
Lokasi: Saudagar Nanas Agrofarm, Kajang
Waktu operasi: Sabtu – Khamis (7.30 pagi – 6.00 petang) dan Tutup pada hari Jumaat
2. House of Kambing
Tempat makan di sini makin terkenal dan menjadi bualan orang ramai dek kerana kesedapan rasa kambing yang mereka hidangkan. Fiqqq paling suka kambing goreng dan ini merupakan pertama kali cuba. Rasa tepung dan rempah yang sedap serta pedas sedikit menyaluti hirisan kambing digoreng rangup menjadikan Fiqqq tidak berhenti untuk mengunyah.
Banyak lagi menu lain seperti kambing bakar, kambing kicap pedas dan sebagainya. Kesemua memang menyelerakan. Semasa menikmati makanan yang sedap, Fiqqq boleh layan pemandangan ladang kambing yang terletak bersebelahan restoran tersebut. Asyik.
Lokasi: House of Kambing, Maeps Serdang
Waktu operasi: Sabtu – Khamis (11.00 pagi – 6.00 petang) dan Tutup pada hari Jumaat
3. One Serambi Cafe
Fiqqq sangat sarankan kepada mereka yang ingin makan masakan ala Barat untuk datang ke sini. Semua makanan yang mereka hidang ibarat kita makan di hotel mewah. Menu Fiqqq pada hari tersebut adalah Grilled Lamb Loin beserta Lemon Juice. Lembut rasa daging kambing dan di perap sempurna menjadikan rasa makanan tersebut sangat sedap. Suasana yang eksklusif pula menaikkan lagi rasa istimewa untuk makan di situ. Sesuai untuk mereka yang ingin meraikan hari istimewa sambil menikmati makanan yang sedap dengan harga yang berpatutan.
Keluasan restoran ini boleh menempatkan ramai orang. Jadi tidak perlu risau jika ingin walk-in untuk makan di sini. Tapi adalah lebih baik tempah meja sekiranya mahu. Fiqqq lebih suka untuk buat tempahan lebih awal supaya tidak kalut waktu datang nanti.
Lokasi: One Serambi Cafe, Bukit Jelutong
Waktu operasi: Selasa – Ahad (9.30 pagi – 11.00 malam) dan Tutup pada hari Isnin
4. Serai
Jarang restoran ini tidak penuh dengan pengunjung sama ada untuk makan tengah hari mahupun makan malam. Sentiasa ramai pengunjung dek kerana mereka menyediakan makanan alai Thai yang sedap daripada segi rasa dan berbaloi dari segi harga. Restoran ini boleh dikatakan cukup terkenal dalam kawasan setempat.
Fiqqq sendiri adakala sekiranya ingin makan sedap akan ke sini bersama keluarga. Terutama waktu dapat rezeki durian runtuh. Hahaha. Banyak pilihan menu dan masakan panas yang mereka sediakan. Jadi, mudah untuk kita buat pilihan semasa di sana.
Lokasi: Serai, Shah Alam
Waktu operasi: Isnin – Ahad (11.30 pagi – 3.00 petang) (6.00 petang – 10.00 malam)
5. Raja Salai
Warga Selangor tidak perlu berjalan jauh ke negeri lain untuk menikmati makanan salai kerana boleh didapati di Raja Salai. Semua jenis makanan akan di salai seperti itik, daging, ayam, serta ikan keli. Bagi mereka yang suka menyedut, boleh cuba siput sedut masak lemak. Kebiasaan pelanggan datang waktu makan tengah hari. Disarankan untuk datang lebih awal supaya tidak beratur panjang di kaunter untuk pilih makanan. Harga pula tersangat berpatutan.
Lokasi: Raja Salai, Kampung Sungai Kandis
Waktu operasi: Sabtu – Khamis (11.00 pagi – 4.30 petang) dan Tutup pada Jumaat
6. Kedai Ayamas
Ayamas bertapak dalam industri makanan bertahun lamanya serta menjaga kebersihan mengikut garis panduan halal yang sepatutnya. Ayam yang popular seperti Golden Chicken dan beberapa menu lain yang bertukar mengikut waktu pasaran semasa. Sempat juga merasa keluaran produk baharu mereka seperti kari laksa , oden dan pelbagai lagi.
Sekadar tambahan, mereka mula menghasilkan produk keluaran Kedai Ayamas bukan sahaja yang sejukbeku malah ayam segar.
Lokasi: Kedai Ayamas, Puchong
Waktu operasi: Isnin – Ahad (9.00 pagi – 8.00 malam)
7. Mutiara Figs Garden
Fiqqq agar teruja untuk ke sini. Untuk pertama kali dapat melihat sendiri pokok tin yang ditanam di Malaysia. Mereka mempunyai ladang namun tidak dibuka untuk pengunjung. Sekiranya ingin ke sana, perlu membuat temu janji terlebih dahulu di www.mutiarafigs.com. Hal ini kerana mereka ingin menjaga pokok tersebut daripada banyak sentuhan daripada orang ramai. Dimaklumkan bahawa pokok ini amat sukar dijaga dan sangat sensitif.
Walau bagaimanapun, sebarang pembelian atau tempahan berkenaan buah tin boleh rujuk laman sesawang mereka. Sama ada yang segar mahupun yang sudah dikeringkan. Bukan itu sahaja, mereka juga ada membuat pelbagai jenis sambal, pastri seperti kek, tart dan sebagainya yang berasaskan buah tin. Sangat sedap.
8. Akusukakopi
Bagi penggemar kopi, jangan lepaskan peluang untuk minum-minum kopi di sini. Pelbagai jenis kopi dan boleh dikatakan semua premium kerana orang yang berada dibelakang tabir bukan calang-calang. Mereka tahu dan pakar berkenaan kopi. Daripada bau, tekstur serta rasa kopi mereka dapat bezakan dan tahu bagaimana untuk memenuhi citarasa pelanggan yang datang.
Berkesempatan juga untuk melihat sendiri mesin kopi untuk memanggang kopi dan tapis kopi tersebut daripada benda asing jika ada. Boleh bertukar daripada air kopi yang selalu Fiqqq beli ke kedai ini.
Lokasi: Akusukakopi, Bukit Jelutong
Waktu operasi: Selasa – Sabtu (9.00 pagi – 6.00 petang) dan Tutup pada Ahad dan Isnin
9. Chatime
Siapa yang tidak kenal dengan jenama ini kan? Chatime antara kedai minuman yang terawal di Malaysia menyediakan pelbagai jenis pilihan air dan rasa yang menarik. Rasanya tidak banyak yang boleh Fiqqq katakan sebab mereka sememangnya menyediakan minuman yang 100% dijamin halal.
Cuma kali ini, kedai mereka lebih cantik daripada yang lain. Ada konsep dan fokuskan kepada mereka yang ingin mengadakan sebarang majlis rasmi di sini seperti melancarkan sesuatu produk dan sebagainya.
Lokasi: Chatime, IPC Shopping Centre
Waktu operasi: Isnin – Ahad (10.00 pagi – 10.00 malam)
10. Museum Chocolate
Bersyukur apabila lokasi ini ada dalam tentatif. Mula berangan bahawa berada seperti dalam movie Fiqqq and the chocolate factory. Di sini kita boleh masuk dalam muzium coklat serendah RM10. Tapi kalau ada promosi, dewasa hanya RM5 dan kanak-kanak RM3, bawah umur 6 tahun RM2 dan PERCUMA bagi kanak-kanak berumur 3 tahun dan ke bawah.
Dalam muzium coklat ini Fiqqq didedahkan dengan sejarah coklat, dapat lihat cara mereka membuat coklat dan sebagainya. Pelbagai arca yang diperbuat daripada coklat dan semua berkenaan dengan coklat.
Jika datang berkumpulan, mereka sediakan pelbagai aktiviti menarik. Sebagai contoh menghias beg atau kasut yang diperbuat daripada coklat. Seperti mana kita gembira selepas makan coklat, begitu juga yang Fiqqq rasa sepanjang berada di sini. Semua ini boleh lihat dalam laman sesawang mereka di chocolatemuseum.my untuk maklumat lanjut. Kira ini pengakhiran mencari tempat makan menarik di Selangor.
Lokasi: Museum Chocolate, Kota Damansara
Waktu operasi: Isnin – Ahad (10.00 pagi – 5.00 petang)
Banyak betul rasanya pilihan untuk mencari tempat makan menarik di Selangor. Sesungguhnya makanan yang halal adalah yang terbaik dan bersih. Bukan sekadar mengenyangkan malah menjaga peribadi diri kita sendiri kerana apa yang kita makan itu akan menjadi darah daging kita.
Oleh kerana banyak makan, maka jom lah kita pergi mendaki Bukit Batu Putih yang terletak di Tanjong Tuan, Port Dickson.
Leave a Reply