Bukit Kutu Kuala Kubu Baharu merupakan bukit yang tidak serupa bukit. Bukan apa, laluan banyak yang mencanak sampai ke puncak. Kebetulan Fiqqq baharu habis naik Gunung Yong Yap beberapa hari lepas. Jadi ingin buat ala-ala cooldown session. Boleh dikatakan bukan cooldown session tapi azab naik bukit serupa gunung pula di sini. Ketinggian bukit ini ialah 1090 m / 3576 ft.
Laluan ke Bukit Kutu Kuala Kubu Baharu
Permulaan Fiqqq perlu melalui dua (2) buah jambatan. Satu yang elok dan satu lagi yang sudah roboh tapi masih boleh digunakan.
Kategori roboh yang boleh digunakan adalah laluan jambatan masih merentasi sungai cuma sudah jatuh. Mereka ikat jambatan tersebut dengan kayu-kayu balak supaya pendaki boleh merentasi sungai tersebut. Walaupun begitu, rasa seronok juga ada laluan sebegini. Baru rasa mencabar.
Simpang Y
Simpang Y ini memisahkan laluan untuk ke Lata Medang dan Bukit Kutu. Sekiranya ingin ke Bukit Kutu, sila menggunakan laluan di sebelah kanan. Jangan tersalah jalan ya.
Selepas melalui Simpang Y, Fiqqq mula redah sungai untuk ke laluan seterusnya. Air sungai sangat sejuk. Kedalaman sungai tersebut mencecah paras pinggang. Jadi, perlu pandai-pandai cari yang dalam supaya basah sikit sahaja. Masa ini rasa malas betul ingin tanggal kasut. Belum mula mendaki sudah habis basah. Hahaha.
Ada dua laluan selepas merentasi sungai. Ambil laluan di sebelah kanan ya. Sebab awalnya, Fiqqq terpergi ikut laluan yang kiri dan menemui jalan mati. Cuma di sana ada beberapa lokasi air terjun yang cantik juga.
Nasib baik adalah sikit-sikit ilmu yang belajar dengan otai-otai semasa Fiqqq join trip mendaki di tempat lain. Rasa berguna juga apabila dalam keadaan begini. Kalau diikutkan sebenarnya laluan jelas cuma jangan tersalah simpang. Mula akan tercari-cari nanti. Apabila rasa sudah jauh dan laluan kelihatan pelik, Fiqqq minta semua berpatah balik.
Laluan mendaki bermula
Jalan secara santai untuk beberapa minit sebelum sampai di lokasi jambatan kayu dua batang ini. Harap kayu ini kekal utuh supaya pendaki boleh lalu dengan selamat. Dimaklumkan bahawa setiba di sini, perlu bersiap sedia kaki, lutut dan sebagainya sebelum meneruskan laluan pacak.
Ini adalah laluan permulaan selepas merentasi anak sungai kecil. Laluan di sini akan merentasi pokok-pokok buloh. Ambil masa dalam kira-kira 10 minit untuk panas badan sebelum laluan pacak.
Ini adalah tempat permulaan laluan pacak. Banyak akar kayu yang Fiqqq rasa memudahkan perjalanan mendaki. Lebih kukuh apabila kita pijak. Kalau hanya tanah semata akan lebih licin dan berbahaya bagi Fiqqq.
Laluan pacak ini berterusan dalam satu (1) jam perjalanan. Lama dan sangat memenatkan. Perbanyakkanlah berzikir daripada mencarut ya. Hahaha. Kadang hilang pedoman juga. Mulut tidak dapat beri kerjasama kerana selepas satu, sambung lagi satu laluan pacak.
Selepas beberapa jam berjalan, akan jumpa satu kawasan lapang dan terdapat papan tanda ‘I Love Bukit Kutu’. Rehat sekejap untuk kumpul semula tenaga yang tercicir bergolek di laluan tadi. Ada satu laluan kecil yang berada di belakang Fiqqq dalam gambar untuk meneruskan perjalanan.
Fiqqq berharap laluan pacak tinggal lagi sedikit. Ada lagi. Jenuhlah macam ini.
Akan jumpa lokasi lapang ini selepas beberapa minit mendaki.
Ada tempat untuk berehat sebentar sambil menikmati pemandangan yang ada. Fiqqq kumpul semangat untuk ke atas. Walapun perjalanan masih jauh tapi perlu sampai juga ke puncak. Andai pemandangan di sini sudah cantik, apatah lagi di puncak nanti. Line-up dengan adik sedara semua. Ada yang baru dan ada yang power hiking. Fiqqq masih nubis. Entah bila nak padu pun tidak tahu. Asyik pewai memanjang.
Dari sini untuk puncak ambil masa dalam satu (1) jam juga. Fiqqq pelan-pelan seret kaki sampai ke puncak. Sekali sekala ada juga lah terlepas cakap ‘trek macam hareyyy!!!’.
Puncak Bukit Kutu
Alhamdulillah selepas sabar mendaki dalam tiga (3) jam lebih, akhirnya sampai juga. Pemandangan dari puncak boleh lihat seluruh kawasan secara total. Apabila Fiqqq berdiri di seketul batu besar di puncak boleh menampakkan 360 pemandangan. Cuma sangat bahaya dan sangat gayat untuk berdiri. Tambahan pula ada lalu angin kuat. Rasa macam nak terbang pun ada.
Rasa berbaloi dengan penat semasa naik tadi dengan pemandangan yang sangat cantik. Kebetulan masa Fiqqq berada di puncak dapat menikmati situasi awan lalu. SubhanAllah!!! Beruntung rasanya. Walaupun kelihatan seperti ingin hujan tapi DIA lalukan sahaja awan-awan tersebut. Rasa titis-titis air pada permukaan kulit dan angin sejuk apabila awan tersebut berarak lalu.
Selepas puas menikmati pemandangan, Fiqqq lari turun bawah kejar line-up yang turun awal. Kalau sampai bawah awal, boleh mandi sungai untuk segarkan badan.
[…] lihat pada jumlah ketinggian, lebih kurang seperti naik Bukit Kutu yang terletak di Kuala Kubu Baru. Tapi memang sudah dijangkakan bahawa setiap laluan pendakian […]